KUALA LUMPUR – Kerajaan Australia mengesahkan serpihan yang ditemukan di Mozambique kemungkinan besar milik pesawat Penerbangan Malaysia Airlines MH370.
Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia Darren Chester dalam kenyataan berkata Pasukan Penyiasatan Malaysia bagi MH370 mendapati kedua-dua keping serpihan itu adalah konsisten dengan panel pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines.
Beliau berkata pemeriksaan serpihan itu telah selesai.
“Analisis itu memutuskan serpihan itu adalah hampir pasti daripada MH370.
“Serpihan itu ditemukan di persisiran pantai timur Afrika adalah konsisten dengan hasil siasatan pemodelan hanyutan CSIRO (Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel) dan seterusnya mengesahkan usaha pencarian kami di selatan Lautan Hindi,” katanya dalam kenyataan, yang dimuat naik di http://miniter.infrastructure.gov.au/.
Chester juga mengiktiraf tugasan itu yang dikendalikan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, Geosains Australia, Boeing dan Australian National University yang dibantu Pasukan Penyiasatan Malaysia melakukan pemeriksaan ke atas serpihan itu.
Beliau berkata pencarian pesawat malang itu diteruskan dan seluas 25,000 kilometer persegi kawasan pencarian di bawah dasar akan diperiksa.
“Kami memberi tumpuan untuk menyiapkan tugas ini dan tetap berharap pesawat itu akan ditemui,” katanya.
Pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang daripada radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.
Pada masa ini, operasi mencari pesawat itu dijalankan di selatan Lautan Hindi, lokasi di mana ia dipercayai berakhir. – BERNAMA
Serpihan Di Mozambique ‘Hampir Pasti” Milik MH370
Reviewed by Unknown
on
23:49:00
Rating:
No comments: